LIVE GOLD AND SILVER PRICE

Live Spot Gold & Silver Price

[Live from Kitco.com]

Tuesday, February 15, 2011

Hubungan anda dgn duit


“Perbelanjaan hidup saya jauh lebih besar daripada pendapatan, mungkin kami boleh dikatakan hidup berasingan.”

- e.e. Cummings
Jarang sekali kita mendengar orang bertanya kepada kita, “Bagaimana hubungan kamu dengan duit kamu?” Soalan ini agak sensitif tetapi secara jujur, jika anda diajukan soalan ini, bagaimana anda akan menjawapnya? Adakah anda berdua masih “bercakap” di antara satu sama lain, hidup berasingan atau yang lebih teruk lagi, “bercerai”? Memahami hubungan anda dengan duit amatlah penting dalam membantu anda menguruskannya dengan baik.
Bagaimana pula dengan Masa Silam Saya?
Untuk memahami hubungan anda dengan duit, mari imbas kembali sewaktu anda sedang membesar. Kemungkinan besar, persepsi anda tentang duit dibentuk oleh orang dewasa disekeliling anda. Anda mungkin mendapat pelbagai perasaan dan idea tentang duit daripada keluarga anda.
Jika ahli keluarga anda perlu bekerja keras, anda mungkin fikir bahawa membuat duit memerlukan kerja yang banyak dan berjam-jam. Jika ada perselisihan faham tentang duit, anda mungkin rasakan bahawa berbincang tentang duit membuatkan orang marah atau takut. Jika keluarga anda mendapat bantuan kerajaan, anda mungkin rasa sedih, berterima kasih atau malu. Jika anda mendapat duit ketika kecil, anda mungkin rasa seronok atau bersalah. Anda mungkin rasa seronok dengan memiliki wang anda sendiri atau dapat membantu keluarga anda. Anda mungkin marah kerana perlu bekerja.
Bagaimana pula dengan Hari Ini?
Kadang kala, anda boleh mengetahui bagaimana perasaan anda terhadap sesuatu dengan menghabiskan sesuatu ayat dalam perkataan anda sendiri. Cuba siapkan ayat-ayat berikut seberapa banyak yang anda boleh dan perhatikan perasaan anda semasa anda menyiapkannya:
  1. Ia amat mudah bagi saya untuk membelanjakan duit untuk.........................
  2. Ia amat sukar bagi saya untuk membelanjakan duit untuk..........................
  3. Saya suka mendapat duit kerana...............................
  4. Saya risau tentang duit apabila.................................
  5. Saya bertengkar tentang duit kerana................................
  6. Menyimpan duit membuatkan saya rasa............................
  7. Jika hari ini saya ada cukup duit, saya akan...........................
  8. Bercakap tentang duit membuatkan saya..........................
  9. Semasa saya membeli barang yang tidak saya perlukan, saya.....................
  10. Saya tidak tahu bagaimana hendak mengurus duit saya kerana.....................
Bagaimana pula dengan Esok?
Cara yang terbaik untuk merancang masa hadapan adalah dengan memahami keadaan anda yang dahulu dan sekarang. Dengan mengetahui tanggapan dan perasaan anda tentang duit akan membantu anda mengajukan persoalan-persoalan penting. Jawapan anda pula boleh membantu anda membuat keputusan yang baik. Cuba ajukan soalan berikut dan ambil sedikit masa untuk memikirkan jawapannya.
  • Berapakah jumlah duit yang cukup untuk keperluan dan kehendak saya?
  • Bagaimanakah saya hendak mendapat duit yang saya perlukan?
  • Bagaimana pula duit untuk kecemasan?
  • Bagaimana pula duit untuk semua barang keperluan keluarga saya?
  • Bagaimana saya boleh berhenti runsing tentang duit?
Bagaimanakah Perasaan Penduduk Malaysia Tentang Duit?
Anda perlu tahu tentang masa silam anda dan bagaimana ia memberi kesan kepada anda. Anda juga perlu memahami pengaruh persekitaran anda.
Umumnya, orang Malaysia menghargai duit. Kita selalu melihat kehidupan orang kaya dan ternama melalui filem, rancangan TV realiti, sukan, akhbar dan majalah. Tambahan pula, pengiklan menyuruh kita membeli, membeli dan terus membeli. Ramai orang beranggapan yang duit menjadikan mereka penting. Kita mula mempercayai yang “lebih baru dan lebih besar” adalah lebih baik. Kita lupa untuk merancang sebelum kita berbelanja.
Budaya kita membentuk pemikiran dan tingkah-laku kita. Mari kita dengan jujur tanya diri kita masing-masing: Tidakkah kita terfikir tentang orang-orang ternama dan ingin menjadi seperti mereka? Tidakkah tingkah-laku kita seperti watak yang kita lihat dalam TV, dalam filem atau pemain sukan (ya, anda semua yang mahu menjadi Beckham!)? Tidakkah kita membeli sesuatu kerana mahu menjadi seperti mereka yang berada dalam iklan tersebut (sesetengah orang mungkin mengakui yang baju kemeja-T Nike mereka sebenarnya memperbaiki permainan golf mereka!)?
Mengapa Orang Mahukan Duit?
Orang mahukan duit supaya mereka boleh hidup. Mereka mahukan duit untuk menjaga diri mereka dan keluarga mereka sendiri. Tetapi orang juga mahukan duit kerana budaya kita memberitahu bahawa: Duit menjadikan anda penting. Duit adalah keyakinan diri. Anda adalah pendapatan anda.
Budaya kita juga memberitahu kita bahawa memiliki banyak benda akan menggembirakan kita. Apa yang kita lihat dan dengar, mencadangkan bahawa kita boleh membeli perasaan. Jika kita mengambil perhatian akan semua ini, jiwa kita boleh jadi kosong. Kita boleh menjadi muflis atau tidak gembira.
Apa Yang Duit Boleh Buat atau Tidak Boleh Buat?
Walaupun budaya kita mengatakan bahawa duit adalah jawapan kepada segala masalah kita, kita juga mendengar yang duit itu jahat: Duit adalah punca segala kejahatan. Duit menghancurkan! Mari kita lihat apa yang duit boleh buat dan tidak boleh buat:
“Ia boleh membeli sebuah rumah, tetapi bukan keselamatan.
Ia boleh membeli sebuah katil, tetapi bukan tidur.
Ia boleh membeli sebuah jam, tetapi bukan masa.
Ia boleh membelikan anda buku, tetapi bukan ilmu pengetahuan.
Ia boleh membelikan anda kedudukan, tetapi bukan penghormatan.
Ia boleh membelikan anda ubat, tetapi bukan kesihatan.
Ia boleh membelikan anda darah, tetapi bukan nyawa.”
Anda lihat, Duit bukanlah segalanya!
Apa Yang Duit Boleh Dapatkan Untuk Saya Hari Ini?
Dengan duit anda boleh menguruskan makan minum, tempat berteduh dan pakaian anda. Semua orang memerlukan semua ini untuk hidup. Anda juga menggunakan duit untuk perkhidmatan seperti penjagaan kesihatan, penjagaan anak, pengangkutan, insuran dan pendidikan. Anda memerlukan banyak benda yang anda miliki dan perkhidmatan yang anda beli. Belian yang lain adalah kehendak – sebuah kereta baru, makan di luar, pakaian berjenama, percutian atau hanya cuba bersaing dengan jiran kita.
Kuncinya bukan berapa banyak duit yang anda miliki tetapi bagaimana anda menggunakannya. Perbelanjaan anda perlu mengikut nilai-nilai anda. Nilai-nilai murni andalah yang penting bagi anda. Ini memerlukan perancangan dan latihan. Melainkan anda menggunakan duit sebagai alat, dengan mudah ia boleh menjadi perangkap!
Apakah Yang Duit Dapat Buat untuk Masa Depan Saya?
Pilihan yang anda buat hari ini boleh mengubah masa depan anda. Apabila anda melakukan yang berikut, anda bukan hanya merancang untuk minggu depan, bulan depan atau tahun depan tetapi seumur hidup:
  • Memilih untuk berbelanja atau tidak berbelanja
  • Menyimpan duit untuk simpanan kecemasan
  • Belajar kemahiran baru untuk mendapatkan atau mengekalkan pekerjaan
  • Melangsaikan hutang
  • Menjadi pembayar hutang yang baik supaya anda boleh mendapat pinjaman yang besar seperti pinjaman kereta atau rumah
  • Mengajar anak-anak dan ahli keluarga tentang penggunaan duit yang betul
Begitulah! Sehingga anda mempunyai hubungan yang baik dengan duit, anda tidak akan boleh hidup bersamanya. Seperti pepatah ada mengatakan, “Seorang bodoh dan duitnya tidak akan kekal lama bersama.”

Minggu depan, kami akan membantu anda membuat perancangan kewangan yang betul dengan menetapkan bajet. Ia adalah suatu yang semua orang patut miliki tetapi tidak, sekurang-kurangnya belum lagi. Sehingga kita berjumpa lagi, mari “Mengamalkan Pengurusan Kewangan Berhemah Sebagai Budaya Hidup.”


Kredit to AKPK

Wednesday, February 9, 2011

Pendidikan Kewangan-Konsep Pinjaman


“Nak pinjam ke tak nak pinjam…” itu biasanya bukan satu pilihan! Kebanyakan daripada kita akan perlu meminjam untuk membeli kereta pertama atau rumah pertama (malah untuk sebahagian daripada kita, untuk berkahwin!) Namun tidak ramai yang tahu prinsip asas meminjam. Sebelum kita berbincang mengenai meminjam, mula-mula mari kita memahami beberapa komponen utama suatu pinjaman.

Apakah Komponen Utama Pinjaman?

Semua pinjaman, sama ada pinjaman kereta, pinjaman rumah atau pinjaman peribadi, terdiri daripada tiga komponen utama: Kadar faedah, cagaran dan tempoh.

Kadar Faedah

Kadar faedah ialah caj yang dikenakan oleh pemberi pinjaman kerana menggunakan duit mereka. Biasanya kadar faedah ditunjukkan dalam bentuk peratusan daripada jumlah pinjaman dalam setahun. Faedah yang dikenakan berdasarkan pengkompaunan (iaitu faedah-atas-faedah) dan ia boleh terdiri daripada pengkompaunan tahunan/ bulanan/ harian (satu lagi istilah yang digunakan ialah kiraan atas baki tahunan/bulanan/harian).

Terdapat dua jenis kadar faedah: tetap atau boleh ubah

Kadar tetap: tetap dan tidak berubah. Jika kadar faedah tetap anda ialah 6% setahun, ia akan kekal 6% setahun sepanjang tempoh pinjaman.

Kadar boleh ubah boleh bertukar mengikut masa dan biasanya ditetapkan pada kadar pasaran standard, seperti Kadar Pemberian Pinjaman Asas, BLR (BLR terkini = 6.75%). Sebagai contoh, anda mungkin mengambil pinjaman dengan kadar boleh ubah pada BLR + 1%. Ini bermakna, anda perlu membayar tambahan satu peratus kepada BLR atau berjumlah 7.75% setahun.

Cagaran

Semua pinjaman adalah sama ada bercagar atau tidak bercagar. Ini merujuk kepada sama ada pemberi pinjaman menghendaki anda mencagarkan aset, biasanya dirujuk sebagai cagaran, untuk menjamin pinjaman anda.

Jika anda mempunyai pinjaman bercagar, bermakna pemberi pinjaman anda boleh merampas aset jika anda mungkir menjelaskan hutang pinjaman. Oleh kerana terdapat cara alternatif pembayaran balik, faedah dalam pinjaman bercagar adalah lebih rendah berbanding dengan faedah pinjaman tidak bercagar.

Apabila anda membiayai pembelian kereta anda melalui pinjaman bank, anda sebenarnya adalah penyewa (bukan pemilik) kereta yang anda pandu sehingga anda selesai membayar sepenuhnya pinjaman anda! Begitulah juga dalam kes pinjaman rumah, bank akan memiliki 'tuntutan pemilikan' terhadap rumah tersebut sehingga anda selesai membayar sepenuhnya pinjaman rumah.

Dalam pinjaman tidak bercagar, tiada aset yang boleh dirampas oleh bank jika mungkir membayar balik pinjaman. Bersama dengan risiko ini, pinjaman tidak bercagar selalunya mempunyai kadar faedah yang lebih tinggi berbanding dengan pinjaman bercagar. Untuk mengurangkan risiko, institusi Pemberian Pinjaman kadang kala menghendaki orang ketiga menandatangani perjanjian bagi pinjaman tidak bercagar atau menjamin jumlah pinjaman.

Tempoh

Tempoh suatu pinjaman ialah jangka masa si peminjam perlu membayar balik pinjaman. Kebanyakan pinjaman peribadi/kereta mempunyai tempoh 3 ke 9 tahun, manakala tempoh pinjaman rumah adalah jauh lebih lama dan biasanya boleh mencapai sehingga 30 tahun! Tempoh adalah jangka masa maksimum untuk si peminjam membayar balik pinjaman mereka; pinjaman boleh dijelaskan sebelum tempoh tamat (tetapi mungkin denda akan dikenakan untuk penyelesaian awal!)

Apakah Prinsip Asas Meminjam?

Setelah memahami komponen-komponen pinjaman, kita sekarang sudah bersedia untuk mempelajari beberapa prinsip asas meminjam.

Prinsip 1: Meminjam untuk sesuatu yang anda perlukan – bukan yang anda mahukan.

Sebelum ini, kita sudah membincangkan tentang perbezaan antara Keperluan dan Kehendak, malah dalam situasi meminjam, perbezaan ini amatlah penting untuk kita fahami. Anda hanya perlu meminjam untuk suatu yang anda benar-benar perlu tetapi tidak mempunyai duit tunai untuk membayarnya. Sebagai contoh, untuk membeli rumah kita, untuk membiayai pendidikan lanjutan anak-anak kita dan untuk membeli sebuah kereta (kita akan bincangkan hal ini kemudian).

Prinsip 2:Meminjam sejumlah duit di dalam kemampuan anda untuk membayar balik.

Ini mungkin logik tetapi malangnya, ia bukan amalan biasa. Ramai orang terlebih memberi komitmen dalam hutang kerana menyangka bahawa ekonomi akan terus berkembang dan situasi yang baik akan terus kekal. Tidak perlu dikatakan, bila tiba masanya, mereka ini akan menghadapi kesukaran untuk membuat bayaran balik dan perampasan kereta dan harta mula dikuatkuasakan. Sebagai contoh, krisis pinjaman terkini di Amerika Syarikat.
Adalah disarankan bahawa seseorang patut menghadkan jumlah bayaran balik pinjaman kepada, kurang daripada 1/3 pendapatan kasarnya.

Prinsip 3: Elakkan daripada meminjam untuk membiayai aset yang susut nilai

Ini mungkin akan menyinggung sesetengah orang tetapi ia adalah prinsip yang baik untuk diikuti. Aset yang susut nilai adalah harta yang hilang nilainya mengikut masa, seperti kereta (melainkan anda “melabur” dalam kereta klasik), perabot dan kebanyakan barang dan peralatan rumah. Tidak memerlukan seorang profesor ekonomi untuk memberitahu anda bahawa meminjam dengan bunga yang agak tinggi (mungkin setinggi 20% setahun untuk sesetengah barang!) untuk membeli “aset-aset” ini, tidak ekonomik langsung. Barangan ini akan susut nilai dengan cepat sementara pinjaman anda berkurangan dengan agak lambat. Dalam situasi di mana anda tidak dapat menjelaskan hutang, barangan tersebut akan dirampas dan anda mesti menambah nilai yang kurang kerana aset susut nilai anda tidak cukup untuk menjelaskan baki pinjaman.

Cuba membeli barang-barang ini secara tunai dari simpanan anda daripada meminjam. Jika tidak, jangan beli (melainkan ia akan menguntungkan perniagaan anda!)

Prinsip 4: Elakkan Daripada Menjadi Penjamin

Seorang penjamin bertanggungjawab menjelaskan pinjaman dalam hal si peminjam mungkir membayar balik pinjaman atas apa saja alasan. Melainkan seorang itu bersedia untuk menunaikan tanggungjawab ini, seorang patut elak daripada menjadi penjamin.

Prinsip 5: Si Peminjam Mempunyai Komitmen Moral dan Mutlak Untuk Membayar Balik

Pernahkah anda bertemu dengan seseorang yang telah meminjam daripada anda tetapi masih belum membayar balik? Bagaimana anda rasa? Kecewa? Ditipu? Dikhianati? Ya, ia memang bukan satu perasaan yang baik dan anda tidak patut memberi sebarang alasan untuk tidak membayar balik hutang apabila anda telah berjanji untuk melakukannya.

Jika anda menghadapi kesukaran untuk membayar balik, berbincanglah dengan si pemberi pinjaman agar dapat membuat pelan bayaran balik yang munasabah tetapi jangan sesekali diam atau lari. Jika tidak, jangan pinjam!

Kesimpulan

Jika anda perlu pinjam, pinjamlah! Walaubagaimanapun, pastikan anda sudah jelas memahami prinsip-prinsip meminjam sebelum memberi komitmen padanya. Setelah anda meminjam, hakikatnya anda telah membuat komitmen untuk membayar balik dan pastikan diri anda, sebagai seorang yang bertanggungjawab, menunaikan komitmen tersebut pada setiap masa.


Kredit AKPK